PERUTUSAN PENASIHAT

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillah dengan adanya pertubuhan seumpama ini, maka InsyaAllah akan sentiasa termotivasi untuk terus istiqamah dalam berbuat kebaikan dan cara seperti ini sudah tentu merupakan salah satu pendekatan kepada Jalla Jalaluh Subhanahu Wa Taala, apatah lagi ahli-ahli pertubuhan ini dari kalangan muda-mudi yang sememangnya golongan ini mempunyai peranan yang amat besar dalam membangunkan kejayaan pada diri sendiri dan juga pada orang-orang yang dekat lagi di kasihi, dengan erti kata yang lain mengajak orang lain untuk bersama-sama.
Rasulullah sallallahu alaihi wa ala aalihi wasahbihi wasallam dalam hal ini tidak di ragui lagi memberi perhatian yang utama kepada golongan anak muda, oleh kerana masa muda ini masa yang mempunyai kekuatan dari segala aspek melebihi dari masa-masa yang lain, seperti yang Baginda sallallahu alaihi wasallam beritahu kepada kita semua bahwa mukmin yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah dari mukmin yang lemah, dan pada kedua-duanya ada kebaikan (HR. Muslim), dan dalam riwayat yang lain juga (Al-Bukhary) disebutkan bagaimana sallallahu alaihi wasallam memberi khabar gembira kepada golongan muda bahawa antara tujuh golongan manusia yang memperoleh lebih pertolongan dari-Nya Subhanahu Wa Taala pada hari kiamat, golongan anak muda yang dididik dan tumbuh membesar dalam ketaatan kepada Allah Subhanahu Wa Taala.
Tahniah dan syabas kepada pemuda dan pemudi Squad Dakwah Khidmah (SDK) "Harapan Agama, Bangsa dan Tanah Air" yang senantiasa berganding bahu mencipta dan mewujudkan kebaikan bukan pada diri sahaja tetapi juga mengajak orang lain untuk bersama-sama dalam mencari reda-Nya Subhanahu Wa Taala dan semoga sama ada Squad Dakwah Khidmah (SDK) dan kita semua termasuk dalam golongan yg Allah sebutkan dalam firman-Nya :
إنهم فتية آمنوا بربهم وزدناهم هدى
Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka. [Surah Al-Kahf(الكهف) 18:13]
وبالله التوفيق والهداية
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Habib Muhammad Bin Muhammad Aqiel Al-Mahdaly
Penasihat Petubuhan Squad Da'wah Khidmah (SDK)